Soalan Lazim

FAQ INSTITUT WASATIYYAH

 

1. Apa sebenarnya maksud ‘wasatiyyah’?

Dari sudut Bahasa Arab, perkataan ‘wasatiyyah’ adalah masdar atau ‘kata terbitan’ dari perkataan al-wasat. Dari perkataan al wasat terbit pula perkataan “al-awsat” ism tafdil yang bermaksud sangat adil dan tidak melampau.

Perkataan lain dalam bahasa Arab yang sama dengannya ialah “I’tidal” bererti tidak melampau (rigid, ketat) dan tidak cuai (longgar).

Dalam bahasa Inggeris pula “wasatiyyah” membawa maksud “middle” atau “balanced”. Manakala perkataan “awsat” pula bererti “the mid of everything”.  Begitu juga dengan “virtue” ditakrifkan sebagai “the midbetween two bad characters or two bad extremes”.

Manakala wasatiyyah dari sudut istilah bermaksud kesederhanaan, keseimbangan dan keadilan dalam kehidupan manusia.

 

 

2. Apakah konsep ‘wasatiyyah’ ini disebut secara khusus di dalam al-Quran?

 

Ya, ‘wasatiyyah’ sememangnya disebut di dalam al-Quran. Ayat yang selalu dijadikan rujukan berkenaan wasatiyyah ialah surah al-Baqarah, ayat 143:-

 

 

Maksudnya: “Dan demikianlah (sebagai mana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada manusia (tentang yang benar dan yang salah)…”

 

3. Apakah wasatiyyah turut diamalkan oleh Rasululllah SAW

Banyak amalan wasatiyyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Di antaranya ialah Rasulullah SAW memberi keizinan untuk bermain muzik, menyanyi dan menari pada majlis-majlis tertentu. Rasulullah SAW pernah membenarkan orang-orang Habsyi menari di Masjid Nabawi sempena kedatangan hari raya, lalu baginda bersabda: ‘Supaya orang Yahudi tahu bahawa agama kita adalah mudah. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama Hanif yang mudah (hanif dalam akidah dan mudah dalam hukum hakam) – Hadith riwayat Ahmad.

Rasulullah juga apabila mengutus utusannya, beliau berpesan dengan pesanan yang bermaksud: “Permudahkan dan jangan persulitkan, berikan berita gembira dan jangan menjadikan orang lari” (Riwayat al-Bukhari)

 

4. Apa pentingnya ‘wasatiyyah’ di zaman ini?

Kepentingannya dizahirkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang berulang kali menyuarakan kesungguhan dan komitmen beliau sama ada di dalam Negara mahu pun di pentas antarabangsa agar pendekatan yang sederhana, seimbang, adil dan cemerlang yang terangkum dalam pengertian Wasatiyyah dijadikan amalan dalam pentadbiran Negara, pengurusan organisasi dan aktiviti harian.

 

Melihatkan keadaan dunia yang diancam peperangan dan kezaliman, penindasan dan penganiayaan disebabkan oleh perbezaan agama, budaya dan tradisi, maka semua pihak perlu berpegang kepada satu nilai yang universal yang boleh diterima bersama agar perbezaan itu dapat dikendurkan dengan titik persamaan ini. Kesederhanaan adalah nilai yang melangkaui fahaman agama, budaya dan tradisi. Sekiranya ianya benar-benar dihayati banyak masalah dalam dunia hari ini akan dapat diselesaikan. 

 

5. Apakah Malaysia negara pertama di dunia yang mempunyai institusi wasatiyyah yang tersendiri?

Tidak. Ada beberapa buah institusi antarabangsa yang sudah sedia ada wujud untuk membudayakan fikrah dan faham ‘wasatiyyah’ ini. Antaranya ialah Al-Qaradawi Center of Moderation and Renewal, International Moderation Center of Kuwait dan Kursi Imam Mohamad bin Abdul Wahab for Moderation and Studies di Universiti Islam Madinah.

Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) mungkin bukan institusi pertama di dunia, namun mungkin antara yang paling awal di rantau sebelah sini.

 

6. Apakah IWM akan mengadakan kerjasama dengan institusi pendidikan dan organisasi tempatan dan luar negara?

IWM bersedia mengadakan kerjasama strategik dengan mana-mana institusi sama ada di dalam mahu pun di luar Negara bagi mempromosi dan menerapkan pendekatan wasatiyyah. Kerjasama ini boleh dilakukan dalam bentuk penganjuran program, penyelidikan dan perkongsian maklumat.

7. Apakah visi IWM?

Membangun masyarakat Malaysia yang harmoni.

8. Apakah Misi IWM?

Menerapkan pemikiran dan melaksanakan tindakan yang harmoni, berdasarkan prinsip-prinsip kesederhanaan, keseimbangan dan keadilan.

9. Adakah program-program IWM sesuai untuk semua lapisan masyarakat di Malaysia?

Ya. Dalam banyak program yang bakal dilaksanakan, IWM akan turut menjemput dan melibatkan kalangan pemikir, profesional, mahasiswa, pemimpin masyarakat dari pelbagai kaum. Ini sekaligus membuktikan bahawa pendekatan wasatiyyah ini boleh menjadi amalan pelbagai bangsa dan agama.

 

10. Apakah objektif penubuhan IWM?

  • Menyumbang ke arah membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang menghayati nilai-nilai dan etika yang unggul berteraskan konsep wasatiyyah dalam segenap aspek kehidupan.
  • Memberi tumpuan terhadap aspek kesederhanaan dan keseimbangan menerusi rasa hormat terhadap demokrasi, peraturan dan undang-undang, pendidikan, maruah dan harga diri seseorang, serta keadilan sosial.
  • Menjadi pusat kepada perkembangan dan percambahan idea bagi membanteras segala kegiatan yang ekstremis.
  • Mengumpulkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang untuk berbincang, memberi pandangan dan menganalisa perkara yang berkaitan wasatiyyah.
  •  

a ) Apakah program-program teras IWM?

  • Mengendalikan siri syarahan perdana Wasatiyyah
  • Melaksanakan program bersama masyarakat (outreach)
  • Menggerakkan kefahaman wasatiyyah melalui media elektronik, cetak dan sosial.
  • Menganjurkan seminar dan dialog kepada kelompok strategik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa
  • Mengadakan latihan dan kursus
  • Menerbitkan  buku dan makalah.
  •  

b) Siapakah kumpulan sasar bagi program atau aktiviti IWM?

Kumpulan sasar IWM terdiri daripada pelbagai peringkat dalam masyarakat antaranya ialah penjawat awam, badan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat, belia, mahasiswa dan orang awam.

 

11. Apakah kaedah yang digunapakai untuk mengukur kejayaan IWM?

Sesuai dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan ‘Outcome-based Budgeting’ (OBB), IWM juga akan turut terlibat dalam pelaksanaan program ini di mana setiap program dan aktiviti akan dikaji keberhasilannya.

 

12. IWM akan turut menggunakan platform media baru?

Bagi memastikan objektif dan fungsi IWM dapat direalisasikan secara menyeluruh, penggunaan media baru akan turut diberikan pengukuhan. Ini termasuklah penerbitan video Youtube bagi menyebarluaskan faham wasatiyyah ini.

 

13. Apakah IWM akan turut mengadakan program di peringkat sekolah?

IWM akan turut melibatkan pelajar-pelajar sekolah dalam programnya termasuk dalam program kempen, pertandingan dan karnival. 

IWM sangat berminat untuk melakukan ‘talent scouting’, di kalangan pelajar yang boleh kita jadikan sebagai agen pemangkin kepada pembudayaan dan kefahaman wasatiyyah ini di usia remaja.

 

14. Apakah IWM turut terlibat di dalam program di peringkat antarabangsa?

Ya, IWM akan menganjurkan program-program di peringkat antarabangsa selain terlibat dengan program-program yang dianjurkan oleh Institusi luar Negara.  

 

15. Sejauh mana IWM yakin dengan perancangan sedia ada, ‘wasatiyyah’ mampu menjadi budaya dan mudah diterima dalam masyarakat kita?

Harus diakui bahawa ianya bukanlah suatu perjalanan yang mudah. IWM amat mengharapkan masyarakat dapat bersama-sama berganding bahu dan menyokong usaha murni ini. Tetapi IWM harus mula melangkah untuk sebuah perjalanan yang jauh.