Halaqah Bicara Wasatiyyah (Hak Asasi Barat: Agenda Dan Hipokrasinya Oleh Dr Murni Bin Wan Mohd Nor

10 OGOS 2017 - "Di zaman moden ini, pelaksanaan hak asasi manusia merupakan antara isu kontroversi yang sering ditimbulkan dalam masyarakat. Persoalannya, adakah hak asasi berjaya direalisasikan dengan sempurna, ataupun dakwaan bahawa kerajaan menindas kepentingan-kepentingan rakyat memang benar-benar berlaku? Seringkali, pelanggaran elemen hak asasi manusia yang utama seperti nilai-nilai demokrasi, hak untuk mengundi, kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan lain-lain telah dijadikan alasan campur tangan politik oleh negara-negara barat yang berkuasa, secara langsung mahupun tidak langsung."

Dengan persoalan ini, IWM telah menganjurkan HALAQAH BICARA WASATIYYAH 2017 dengan tajuk HAK ASASI BARAT: AGENDA DAN HIPOKRASINYA dan menjemput Dr Murni Wan Mohd Nor; Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan & Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia untuk membentangkan tajuk ini. Halaqah Bicara Wasatiyyah yang diadakan di Hall 1 Level C PICC ini dihadiri oleh lebih 40 orang jemputan khas dari IWM yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, NGO dan media. Halaqah Bicara Wasatiyyah dimulakan dengan Ucapan Moderator dari Dato Haji Mohd Yusof Din; Pengarah IWM yang seterusnya menjemput Tan Sri Dr Abdullah Md Zin; Penasihat Agama Kepada YAB Perdana Menteri untuk menyampaikan Ucapan Aluan. Kemudian, Sesi Pembentangan oleh Dr Murni dimulakan dan diakhiri dengan Sesi Perbincangan dengan ahli Halaqah.

Daripada Halaqah Bicara Wasatiyyah ini, dapat disimpulkan hak asasi manusia yang didukung dan dipraktikkan oleh negara-negara Barat kadang-kala memperlihatkan elemen-elemen hipokrasi kerana prinsip hak asasi tidak ditegakkan secara konsisten. Kita perlu bertanggungjawab dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan melaksanakannya dengan ikhlas dan ihsan dan perlu kembali semula kepada fitrah manusia yang sentiasa memerlukan Tuhan dan mementingkan nilai-nilai keagamaan. Apabila kita mencerminkan sifat-sifat positif yang dianjurkan dalam agama-agama utama dunia, hak asasi manusia akan dilaksanakan dengan bertanggungjawab, wasatiyyah (kesederhanaan, keseimbangan, keadilan, kecemerlangan) serta membawa kepada kebahagiaan yang berkekalan.